186 - kenapa Allah beri rindu



Bismillah.

Kata Kak Umairah,

"Selamat terus berjuang dengan hatimu sendiri.
Selamat terus berkata kepada Tuhanmu,
aku akan berjuang lagi.
Aku akan mencuba lagi menjadi yang lebih baik dari semalam."

Allahu. Sudah menginjak ke fasa masa lapang yang aku takutkan. Sudah selesai satu peperiksaan besar dan masih menanti keputusan. Moganya baik-baik sahaja, ya Allah. Fasa masa lapang ini aku sangat takut, tambah-tambah dalam bulan Ramadhan pula. Harapnya tidak terpengaruh dan terhibur dengan hiburan dunia sahaja. Moga aku kuat untuk istiqamah.

Usai aku berbuka puasa dua hari lepas di luar bersama dua orang sahabatku, kami segera bergegas ke sebuah masjid di Ampang Jaya. Disebabkan aku yang sudah dahulu selesai dalam solat, aku menunggu mereka di dalam kereta bertemankan ayat al-Quran dari Sheikh Mishary. Aku memerhati masjid dan sekelilingnya. Allahu, alangkah cantik dan gah masjid ini, meriah pula. Kanak-kanak yang majoritinya bukan dari Malaysia tetapi dari negara Timur Tengah ini telah menarik perhatianku. Mereka sangat gembira dengan Ramadhan. Berbuka puasa mereka seperti hari kebesaran. Senyuman mereka seperti di hari aidilfitri. Makanan mereka kelihatan enak seperti dimasak bonda mereka.

Terpandang pula aku kepada kubah masjid. Dan tidak semena-mena mengalir air mataku. Hatiu rasa berat, seolah-olah ada yang kosong. Aku tidak punya sebab kenapa air mataku boleh gugur tanpa sedar. Lama aku memerhati, telah hatiku, hatiku mungkin cuma rindu.

Rindu dengan masjid, rindu dengan suara imam mengetuai makmum, rindu suara penghuni masjid yang membaca al-Quran, rindu untuk berdiri di dalam saf yang panjang, rindu untuk menyalami ibu-ibu dan nenek-nenek, rindu untuk bersandar di dinding dan membaca ayat-ayat Allah, rindu untuk mengerjakan tahlil, rindu meng'pass' tabung derma di masjid, rindu berselindung di balik tiang besar menunggu ayah keluar masjid, rindu untuk sembunyikan kasut bimbang kehilangan, rindu dengan suasana tenang dan aman di dalam masjid, rindu dengan tertidur menunggu emak menghabisi tarawih 20 rakaat, rindu dengan azan masjid yang sangat dekat terasa apabila berada di dalamnya ketiza azan berkumandang, dan rindu-rindu lain yang aku tidak terungkapkan. Sungguh, aku sangat rindu.

Aku menangis teresak-esak selama beberapa minit. Mungkin salah satu faktornya memang aku rindukan ahli rumah. Dan aku fikir faktor utama ialah;
Aku jauh daripada Allah. Untuk merungkai jawapan kenapa Allah beri rindu itu; Allah mahukan aku dekat kepadaNya.

Dan.... sedar atau tidak,

Kita, banyak sangat benda kena buat kan?
Banyak sangat.
Nak nangis rasa. Tak larat nak memikir.

Tapi, Allah sayang. Sebab Allah sumber kekuatan, sebab Allah sebenar-benar sumber keteguhan, kecekalan dan ketabahan.

Nak jumpa Allah dengan hati cantik kan?
Heart, stay soft yet strong, okay?

*ada gaya kak farah punya sikit haha*
*doakan result proexam*



062216
Ramadhan Kareem
Ampang

Comments